Sunday, 9 September 2012

Tiada lagi kalimah berputus asa

Sebaik sahaja LJ menamatkan pelajaran LJ pada bulan Ogos yang lalu, LJ telah berhadapan dengan beberapa ujian. Satu demi satu telah menimpa diri LJ yang serba lemah ini. Sehingga ke suatu saat LJ seolah-olah tidak mampu meletakkan harapan di dalam hidup. LJ pasti. Ini bukan diri LJ yang dulu. Seorang insan yang menguatkan sahabat-sahabatnya di kala mereka dirundung derita dengan kata-kata semangat, hari ini rebah tiada daya. Tiada kekuatan untuk meneruskan hidup. LJ takut dan LJ tidak pasti apa yang harus LJ lakukan untuk mengeluarkan diri LJ dari situasi yang LJ tidak gemar sekali. LJ terus mencari dan mencari. Sehinggalah hari ini, Alhamdulillah LJ kembali diberikan petunjuk oleh Allah swt bahawa sumber kekuatan yang paling agung adalah dengan mengembalikan diri LJ padaNya, Rabbul Izzati. Apabila LJ menyedarinya, LJ menjadi malu. Malu dengan diri sendiri. Seorang mujahidah yang hidupnya berikrar untuk bersama-sama perjuangan agama Allah, tidak sepatutnya mudah tewas pada ujian dunia, tidak sepatutnya mudah lupa akan apa yang perlu dilakukan tatkala ujian menimpa. Allahurabbi, ampuni LJ ya Allah. 


Posted by Picasa

Sahabat-sahabat yang LJ kasihi, pasti sahabat-sahabat sekalian sudah acap kali mendengar perumpamaan bahawa hidup ini ibarat roda. Kadang-kadang kita di atas dan ada masanya pula kita berada di bawah. LJ sendiri mengakui tatkala diri LJ diuji, LJ seolah-olah lupa pada banyaknya nikmat yang Allah swt kurniakan buat LJ sewaktu LJ berada dalam keadaan senang. Hakikat hidup umpama roda itu seolah-olah luput dari ingatan LJ. Allahurabbi.

Sahabat-sahabat yang LJ sayangi, seandainya kalian juga berada di dalam situasi yang sangat sukar, diuji dengan pelbagai ujian dengan serentak, suka untuk LJ berkongsi akan perkara pertama yang perlu kita lakukan adalah dengan mengambil wuduk dan bersolat sunat dua rakaat. Lakukanlah ini dengan sebaik sahaja kita menerima ujian dari Allah swt.

Sewaktu sujud yang terakhir, kita mohon kepada Allah swt dengan bersungguh-sungguh agar dikurniakan hati yang sabar dan sentiasa bersyukur terhadapNya. Sekiranya sahabat sekalian berasa mahu mengalirkan air mata, menangislah di dalam sujud tersebut sehingga dengan izin Allah swt, sahabat-sahabat sekalian menjadi tenang dan lega. Tatkala itu, sahabat-sahabat bolehlah menamatkan solat sunat tersebut dan insha Allah ketika ini, kita akan berada di dalam posisi yang sangat rasional untuk membuat tindakan seterusnya. Sambil hati sentiasa berdoa agar Allah swt memberikan jalan keluar dan dalam keadaan bertenang, kita fikirkan masalah atau dugaan yang terpaksa kita hadapi.

Fikirlah dengan hati yang mengharapkan keredhaan Allah swt agar setiap langkah yang kita ambil sentiasa di dalam lindungan dan rahmat dariNya. Insha Allah, LJ sangat yakin, kita semua akan mampu tersenyum meskipun kita terpaksa mendepani dugaan hidup yang sementara ini. Kalimah putus asa itu juga tidak akan berani mendekati kita dengan izin dariNya.

Jom cuba, sahabat sekalian.=)