Saturday, 8 September 2012

Di Terminal Putra

Tulisan ini LJ coretkan tatkala LJ sedang menunggu bas di Terminal Putra. Pulang ke Kuala Terengganu setelah berada di Kuala Lumpur semalaman bagi satu panggilan temuduga di K-Fiqh Sdn Bhd, syarikat milik tokoh ilmuan perbankan Islam terkenal, Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman dan sahabat-sahabatnya.

Menerima panggilan daripada En Azlan semalam petang membuatkan LJ tidak sempat untuk membuat persediaan yang rapi untuk ditemuduga. Sangka LJ, kekosongan yang ditawarkan hanyalah sebagai sukarelawan bagi acara-acara di bawah kelolaan K-Fiqh. Rupa-rupanya LJ tersilap. Jawatan yang ditawarkan adalah sebagai Pengurus Acara atau dalam Bahasa Inggerisnya Event Manager. Jauh di sudut hati, LJ tergelak, meletakkan anggaran peratusan untuk LJ diterima bekerja hanyalah 30%. Bukanlah LJ menafikan rezeki dari Allah swt akan tetapi, berdasarkan pengalaman hidup LJ yang tak seberapa, tahap keyakinan diri itu mampu menjadi andaian bagi kebarangkalian untuk perolehah sesuatu. Ah, ternyata falsafah itu indah.

Terimbas kembali saat LJ ditemuduga. Dua tiga kali juga LJ di'provoke' oleh Dr. Zaharuddin dan Ustaz Abdullah Azzam. LJ yang tidak pernah mengalami provokasi daripada manusia, menggelabah sepanjang temuduga itu berlangsung. Terus jatuh keyakinan diri. Benarlah kata orang, pengalaman itu guru yang terbaik. Meskipun LJ dikurniakan Allah swt dengan guru-guru yang hebat bermula dari kecil sehingga LJ menerima segulung ijazah, ternyata ilmu LJ masih tidak cukup. LJ perlu lebih banyak berguru dengan guru terulung, iaitu sebuah pengalaman. Ternyata, kemampuan untuk bertahan di bumi Allah swt ini hampir keseluruhannya memerlukan bimbingan dari guru terulung ini.


Usai temuduga, LJ melepaskan lelah di bilik sewa seorang sahabat LJ di Batu 8, Gombak. Meskipun hanyalah sebuah bilik di dalam sebuah rumah kedai yang dikongsi pula seramai tiga orang, kesederhanaan itu bagaikan tidak terasa dek kehebatan sahabat LJ dalam meraikan LJ. Terima kasih sahabat. Uhibbukifillah. Semoga dikau dipermudahkan Allah swt dalam pelayaran pengajianmu di UIA.

Jam sudah menunjukkan angka 8.37 malam. Terpapar merah pada skrin yang sepatutnya menunjukkan waktu-waktu pelepasan. Masih mempunyai waktu hampir 1 jam setengah sebelum LJ berlepas pulang ke Kuala Terengganu. Tangan LJ masih gatal mahu menulis.

"Amoi, amoi. Macam mana mau pigi itu Chow Kit?"

Suara aunty Cina sewaktu LJ sedang meniti anak-anak tangga di Stesyen LRT Masjid Jamek terngiang-ngiang di telinga. LJ tersenyum apabila mengingatkan pesanan dari beliau.

"U mesti mau berhati-hati. Ini bandar manyak besar. Manyak orang jahat. U orang kampung baik-baik. Jaga itu beg. Jangan cakap manyak-manyak sama orang."

Subhanallah. Meskipun pesanan ini datangnya dari seorang yang bukan beragama Islam, LJ sudah cukup terharu. Pesanan ini pasti tidak terungkap seandai tiada kasih sayang yang membawa kepada hati yang tulus ikhlas. Ternyata terpancar pada wajahnya. Ya Allah, hanya dengan kurniaan hidayahMu mampu memancarkan sinar Islam padanya. Kau kurniakanlah hidayahMu, ya Allah.

Izinkan LJ mengakhiri coretan LJ kali ini dengan ucapan Alhamdulillah di atas kurniaan sebuah pengalaman.
Posted by Picasa