
Petang
semalam, ketika dalam perjalanan untuk mengambil adik LJ pulang dari
sekolahnya, telefon bimbit LJ berbunyi. Kebiasaannya, LJ memilih untuk
tidak menjawabnya ketika sedang memandu. Tapi, entah mengapa kali ini,
hati LJ seolah-olah mengarahkan LJ untuk menjawabnya dengan segera.
Dalam tergagau-gagau, LJ mengambil telefon bimbit di dalam beg tangan
yang LJ letakkan di sebelah. Sebelum menekan butang untuk menjawab,
sempat LJ menjeling nama pada skrin. Rupa-rupanya, panggilan dari
sahabat lama LJ dari Sabah. Dengan penuh terujannya, LJ berbual
dengannya sepanjang perjalanan pergi dan balik. Kalau ada JPJ, memang LJ
menempah nahas.
Sahabat LJ ini merupakan insan yang mengalami perubahan
dalam hidupnya dari insan biasa-biasa, tidak menutup aurat dengan
sempurna sehinggalah hari ini, beliau merupakan insan yang sangat
komited dengan program-program agama. Hebat sungguh hidayah yang Allah
swt campakkan kepada sahabat LJ ini ketika beliau berada di bumi
Adelaide.
"LJ ingat tak apa yang saya bagi tau pada LJ tahun lepas?"
"Ha, mestilah ingat. Bila lagi Amirah nak bagi kad ni."
Tahun
yang lalu, sahabat LJ ini pernah bertanyakan pendapat LJ ketika beliau
dipinang oleh seorang ikhwah (saudara lelaki seperjuangan) yang masih
belajar di Adelaide. Pada sangkaan LJ, beliau akan terus membina Baitul
Muslim (rumahtangga Islam) ketika kembali ke tanah air. Ternyata
sangkaan itu tidak menjadi. Sahabat LJ diuji oleh Allah swt untuk tidak
bertemu jodoh dengan ikhwah tersebut.
-
-
-
-
"Ina, kenapa ni?" LJ terkedu melihat mata rakan serumah LJ yang bengkak. Kelihatan air mata masih bergenang pada matanya. Mukanya juga menjadi sembab.
Ina, seorang rakan yang hidupnya diduga dengan pelbagai ujian oleh Allah swt. Keluarga yang berantakan dan mengalami kesempitan wang, menghadapi sistem pembelajaran yang bermasalah dan seribu satu lagi masalah yang terpaksa Ina hadapi membuatkan LJ kadang-kadang hanya mampu terkedu ketika mendengar luahan hatinya. Benarlah kata orang tua-tua, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
"Tahun ni, Ina dapat the best birthday wish daripada Amar," jawab Ina setelah didesak.
LJ bimbang sekiranya ada perkara buruk yang terjadi. Rupa-rupanya kali ini, Ina bersedih kerana putus cinta. Bertambah tragis kerana berlaku ketika hari lahirnya seminggu yang lalu. Patutlah sepanjang seminggu ini, LJ melihat Ina banyak termenung dan menghabiskan masanya bersendirian.
"Ini semua kerana Syuhada. Kalau dia tak bandingkan Amar dengan Fred, tentu tak jadi macam ni," tiba-tiba Ina mengadu sambil kembali teresak-esak.
-
-
-
-
-
