Tuesday, 4 September 2012

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang hendak kamu dustakan?


Posted by Picasa
"Ya Allah, ya Tuhanku. Kau bantulah aku dalam membuat pilihan ini ya Allah." 
-
-
-
-
Sebaik sahaja mendapat keputusan SPM, setiap hari LJ akan membeli surat khabar untuk melihat tawaran-tawaran biasiswa bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya. Terima kasih yang tidak terhingga buat Abang Amir yang juga merupakan senior setahun LJ ketika belajar di sekolah kerana mengingatkan kami adik-adik junior untuk sentiasa peka dengan iklan-iklan biasiswa di dalam surat khabar yang biasanya dipaparkan sebaik sahaja keputusan SPM dikeluarkan. 

Antara tawaran biasiswa yang menarik minat LJ adalah tawaran biasiswa daripada JPA/MARA, Petronas, Khazanah Nasional, Permodalan Nasional Berhad (PNB), dan biasiswa Kementrian Pelajaran Malaysia (KPM). Di samping itu, LJ tidak ketinggalan untuk membuat permohonan UPU dan matrikulasi. Alhamdulillah, LJ bersyukur pada Allah swt kerana di atas rahmat dan kasih sayangNya, keputusan SPM LJ layak bagi syarat-syarat permohonan biasiswa-biasiswa pada ketika itu. Berbekalkan tawakkal, LJ menghantar borang-borang permohonan di samping mengharapkan Allah swt sentiasa memudahkan segala urusan. 

"Kak long, ada surat ni!" jerit adik LJ setiap kali posmen menghantar maklum balas dari pihak-pihak penaja supaya menjalani temuduga. 

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar. Dengan izin Allah swt, LJ berjaya melepasi beberapa temuduga yang LJ hadiri dan akhirnya LJ berjaya mendapatkan tawaran tajaan dari beberapa pihak. Pihak Petronas berkenan untuk menaja LJ untuk meneruskan pembelajaran di dalam bidang kejuruteraan petroleum di UTP, MARA pula bagi pengajian sains aktuari di  Amerika Syarikat dan KPM bagi pengajian Pendidikan Kimia di United Kingdom. Subhanallah, Allah swt begitu pemurah terhadap hambaNya. Di kala sahabat-sahabat lain ada yang bimbang sekiranya tidak dapat melanjutkan pelajaran, akan tetapi Allah swt mengurniakan LJ dengan begitu banyak tawaran, sehinggakan LJ sendiri tidak tahu untuk membuat pilihan. Allahurabbi. 

Alhamdulillah, buat pertama kalinya juga dalam hidup, LJ menunaikan solat sunat istikharah. Hati LJ pada ketika itu hanya mengharapkan bantuan daripada Allah swt untuk diberikan petunjuk akan jalan mana yang terbaik untuk LJ ikuti. Dan, akhirnya dengan hati yang padu, akhirnya LJ memilih untuk melanjutkan pelajaran bagi bidang sains aktuari di bawah tajaan MARA ke Amerika Syarikat. Syukur padaMu ya Allah.
-
-
-
-
"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang hendak kamu dustakan?"